27 Jun 2025 (Alor setar): Duli
Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan
Sallehuddin, Raja Muda Kedah merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri
Kedah (MAIK) perkenan berangkat menunaikan Solat Fardhu Jumaat di Masjid Negeri
Masjid Zahir, di sini.
Keberangkatan tiba Tuanku Raja
Muda Kedah disambut oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Norizan bin Khazali,
Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Sohibus Samahah Dato’ Paduka (Dr.) Syeikh
Fadzil bin Haji Awang, Mufti Negeri Kedah dan Yang Berbahagia, Dato’ Dr. Haji
Abd. Ghani @ Zulkifli bin Haji Zainuddin, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama
Islam Negeri Kedah merangkap Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Kedah.
Khutbah yang bertajuk ‘Semarakkan
Hijrah: Menuju Reda Allah’ disampaikan oleh Syeikh Khairul Firdaus Haji Abu
Bakar Al-Hafiz, Timbalan Imam Masjid Negeri Masjid Zahir yang menyeri para
jemaah untuk mengambil pedoman dari peristiwa hijrah dengan melaksanakan ibrah
hijrah dalam 5 perkara iaitu hijrah hati, hijrah akhlak, hijrah amal, hijrah
pemikiran dan hijrah media & teknologi.
Selesai solat, Baginda Tuanku
Raja Muda Kedah perkenan bergambar bersama Ketua-Ketua Pegawai Kerajaan yang
hadir dan Ahli Jawatankuasa Masjid Negeri Masjid Zahir sebelum berangkat
pulang.