01 Jun 2025 (Alor Setar) – Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) telah menganjurkan satu Bengkel Penyediaan Pelan Strategik MAIK 2026-2030 bagi sesi libat urus khas bersama anggota MAIK bertempat di Raia Hotel & Convention Center, Alor Setar, Kedah. Anggota Majlis yang hadir adalah Sohibul Samahah Dato’ Paduka (Dr.) Syeikh Fadzil bin Haji Awang., DPSS., DSDK., AMK., BCK. (Mufti Negeri Kedah Darul Aman), Sohibul Fadhilah Yang Amat Arif Dato’ Sheikh Haji Abd Rahman bin Haji Abdullah, DPMK., AMK., BCK. (Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah Darul Aman), Yang Berhormat Dato’ Ustaz Mohd. Azam bin Abd. Samat, DSSS., SDK., PJK. (Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan), Yang Berbahagia Dato’ Haji Muhamad Arof bin Darus, DSDK., SDK., AMK., BCK. (Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kedah Darul Aman), Yang Berbahagia Dato’ Sheikh Haji Zakaria bin Othman, DSDK., AMK., BCK. (Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman), Yang Berbahagia Dato’ Dr. Haji Abd. Ghani @ Zulkifli bin Haji Zainuddin, DSDK., DIMP., DSM., AMK., BCK., ASK. (Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman), Ustaz Khairul Azwadi bin Mohamed Noor (wakil kepada Yang Berhormat Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah Darul Aman) serta Ketua-Ketua Bahagian dan Ketua-Ketua Unit serta urusetia MAIK yang turut hadir dan memainkan peranan yang penting dalam menjayakan bengkel ini. Turut diraikan pasukan perunding dari Syarikat VIP SOLUTION PLT yang telah dilantik sebagai perunding Pelan Strategik MAIK 2026-2030 iaitu Encik Shaik Wahid bin Shaik Ismail (Ketua Perunding), Encik Airul Amri bin Amran, Puan Misna binti Haji Noor, Puan Saliza binti Abdul Jalal, Puan Norazah binti Abu Samah dan Puan Thaniah binti Ahmad.
Sesi bengkel dimulakan dengan ucapan ringkas oleh Dr. Aisyahmona Binti Ghani selaku Ketua Bahagian Penyelidikan dan Perancangan Strategik MAIK merangkap Ketua Sekretariat Pelan Strategik MAIK 2026-2030. Tujuan sesi libat urus bersama semua pihak adalah untuk memberikan ruang yang lebih luas kepada semua untuk menyampaikan pendapat berdasarkan fakta dan data bagi membangunkan apakah perkara yang perlu diberikan tumpuan utama untuk dipilih sebagai halatuju strategik MAIK bagi tahun 2026-2030. Bengkel penyediaan Pelan Strategik MAIK telah berlangsung beberapa siri dan kehadiran adalah melibatkan pengurusan bahagian MAIK, pengurusan anak syarikat MAIK, pakar bidang (SME) iaitu pensyarah dari UUM, UITM, UNISHAM dan wakil daripada jabatan atau agensi yang berkaitan.
- 21 Mei 2025 fokus kepada Pemerkasaan Baitulmal,
- 22 Mei 2025 fokus kepada Pemerkasaan Wakaf,
- 25 Mei 2025 fokus kepada Pemerkasaan Penyelidikan, Pembangunan Islam dan Perundangan,
- 26 Mei 2025 fokus kepada Pemerkasaan Modal Insan, Teknologi, Kaedah Kerja dan Tadbir Urus.
- 1 Jun 2025 sesi libat urus khas bersama anggota Majlis
Sesi seterusnya ucapan aluan daripada Yang Berbahagia Dato’ Dr. Haji Abd. Ghani @ Zulkifli bin Haji Zainuddin, DSDK., DIMP., DSM., AMK., BCK., ASK. merangkap Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman. Pelan Strategik MAIK ini akan dijadikan sebagai rangka kerja kepada pihak MAIK dalam memastikan hala tuju institusi ini serta meningkatkan keupayaan tadbir urusnya bagi mencapai misi dan visi yang telah ditetapkan. Pelan strategik MAIK bagi tahun 2026–2030 hendaklah mempunyai strategi yang mengutamakan pencapaian strategik berbanding operasi namun masih boleh dilaksanakan selari dengan fungsi dan peranan MAIK.
Sesi bengkel seterusnya dikendalikan oleh perunding daripada VIP Solution PLT merangkumi sesi soal jawab, perbincangan secara mendalam serta percambahan idea dan buah fikiran bagi penyediaan kerangka awal Pelan Strategik MAIK 2026-2030 dari sudut pandangan anggota MAIK.
Sesi bengkel tamat pada jam 12.30 tengah hari dan diakhiri dengan jamuan makan tengah hari bersama semua peserta yang terlibat.