LANGKAWI (30 November 2023) – Bahagian Wakaf, Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) dengan kerjasama Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) dan Jabatan wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) telah mengadakan Program Siri Roadshow Kesedaran Berwakaf Peringkat Negeri Kedah 2023 bagi daerah Langkawi.
Program ini merupakan hasil inisiatif Bahagian Wakaf MAIK di dalam usaha untuk memperluaskan promosi dan meningkatkan kesedaran mengenai wakaf yang merupakan antara elemen kekuatan umat Islam. Tujuan Program ini diadakan adalah untuk mengariskan salah satu kaedah iaitu Skim Dana Wakaf tunai melalui kaedah potongan gaji secara bulanan kepada setiap penjawat awam termasuklah di peringkat persekutuan dan negeri.
Program Siri Roadshow ini dimulai dengan taklimat yang disampaikan oleh Tuan Syeikh Fakhrurrazi bin Yub bertajuk Wakaf Amalan Sedekah Di Hujung Jari. Taklimat berikutnya disampaikan oleh Cik Haidatul Azia Binti Husin Pegawai Pengurusan Bahagian Pemasaran dan Korporat YWM bertajuk Pengurusan Wakaf di Peringkat Persekutuan.
Program ini telah dirasmikan oleh Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman iaitu Dato’ Dr. Haji Abd. Ghani@Zulkifli Bin Haji Zainuddin dan melibatkan peserta daripada kalangan Pengetua dan Guru Besar sekolah serta pelbagai agensi kerajaan di daerah Langkawi.