17 Mei 2023 : Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bersama Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) telah menganjurkan Hari Apresiasi Pewakaf di The Jerai Hotel, Alor Setar sebagai tanda menghargai para pewakaf terutamanya yang berada di negeri Kedah. Majlis Apresiasi Pewakaf diadakan sebagai usaha meraikan jalinan kerjasama erat antara YWM dan MAIK dalam usaha memperkasakan wakaf di negeri Kedah. Seramai 100 orang pewakaf YWM dan MAIK telah dijemput dan diraikan di mana mereka adalah antara pewakaf yang telah mewakafkan tunai secara potongan gaji menggunakan kod potongan gaji YWM iaitu 4474 atau secara one-off dan termasuk juga para pewakaf yang mewakafkan aset atau harta tidak alih mereka kepada MAIK. Menerusi majlis yang sama juga, sejumlah RM25,550 menggunakan Dana Manfaat Wakaf YWM dan Dana CSR YWM telah disumbangkan oleh YWM kepada MAIK. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM10,000 daripada Dana Manfaat Wakaf YWM telah disumbangkan bagi tujuan Pembinaan Pusat Pelupusan Al-Quran dan sejumlah RM10,550 lagi disumbangkan bagi tujuan pelaksanaan Projek Infak Mini SPBT untuk Murid-Murid KAFA di negeri Kedah. Manakala dengan menggunakan peruntukan Dana CSR YWM, sejumlah RM5,000 telah disumbangkan kepada Pusat Jagaan Darul Aitam Wal Masakin Sultanah Haminah. Sumbangan cek cura telah disampaikan oleh YBrs. Encik Abdul Halim bin Mat Yusop, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YWM kepada Dato’ Haji Abd. Ghani @ Zulkifli bin Zainuddin, Setiausaha MAIK MAIK juga berbesar hati menyampaikan sumbangan duit raya kepada 20 penghuni Pusat Jagaan Darul Aitam Wal Masakin Sultanah Haminah dan menyerahkan sijil penghargaan kepada agensi-agensi yang berwakaf kepada MAIK.