28 Mei 2025 (Alor Setar) – Yang
Berbahagia Tuan Syeikh Muhammad Suhaimi bin Zulkiflee, Ketua Bahagian Baitulmal
Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) hadir merasmikan Majlis Penyerahan Kabin
Bilik Operasi Pendidikan Islam (KAFA) di Sekolah Kebangsaan Dulang, Yan, di
sini.
Kehadiran Yang Berbahagia Ketua
Bahagian Baitulmal MAIK disambut oleh Encik Khairol Aswadi bin Omar, Penolong
Pegawai Pendidikan Daerah (Pendidikan Swasta Daerah Yan), Puan Wan Rozita binti
Wan Osman, Guru Besar SK Dulang dan Puan Sharifah Kassmazi binti Tuan Kob,
Penyelia KAFA daerah Yan.
Dalam ucapan perasmian beliau,
Tuan Syeikh Suhaimi memaklumkan penyerahan Kabin guru KAFA ini merupakan
inisiatif bersama antara MAIK dan pihak berkaitan dalam membantu memudahkan
urusan guru-guru KAFA di sekolah-sekolah yang terpilih, sekaligus dapat meningkatkan
produktiviti guru KAFA dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar.
Di akhir ucapan beliau, Tuan
Syeikh Suhaimi turut berbesar hati mengucapkan tahniah kepada SK Dulang kerana
terpilih untuk menjayakan projek kabin guru KAFA yang bernilai RM17,940.00
sebelum merasmikan penyerahan kabin guru KAFA melalui simbolik penyerahan
replika kunci kepada Guru Besar SK Dulang.
Hadir sama ke majlis ini, Ustaz
Helmi Mohd Yusof, Penyelia Kanan KAFA Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri
Kedah, Encik Mohd Asri bin Daud, Penghulu Mukim Dulang dan Tuan Syeikh Mohd
Zamri bin Bakar, Ketua Unit Tabung Amanah Baitulmal Kedah MAIK.