KUALA NERANG (23 DISEMBER 2022) – Adalah dimaklumkan bahawa DYTM Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Badlishah Raja Muda Kedah telah berkenan merasmikan program pemasangan Solar Net Energy Metering 3.0 di Masjid Tengku Sarafudin Badlishah, Kuala Nerang, Kedah Darul Aman.
Pelaksanaan pemasangan Solar Net Energy Metering 3.0 ini telah diusahakan oleh Syarikat Green Energy Generation Sdn. Bhd. yang mempunyai lesen pembekal perkhidmatan dan pelabur perkhidmatan oleh Sustainable Energy Development Autority (Seda Malaysia) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Kedah Darul Aman (MAIK). Sistem solar panel berkapasiti 10kwp telah dipasang di masjid ini dan akan memberi penjimatan sebanyak RM 500.00 sebulan bagi tempoh sepanjang 21 hingga 25 tahun secara percuma tanpa kos yang dikenakan kepada masjid. Sistem solar ini telah di infak oleh ahli korporat Dato’ Haji Bastien bin Onn dan pihak Global Sadaqah dengan kerjasama Green Energy Generation Sdn. Bhd. dan Majlis Agama Islam Kedah (MAIK).
Kerjasama yang dibentuk oleh Green Energy Generation Sdn. Bhd. dan Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) ini merupakan inisiatif yang akan memberi impak besar kepada pihak Masjid Tengku Sarafudin Badlishah Kuala Nerang Kedah. Pemasangan sistem panel solar ini bukan sahaja akan menyumbang kepada penjimatan tenaga elektrik di masjid yang terlibat malah dapat membantu mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida.
Cadangan pemasangan Solar Net Energy Metering 3.0 (Seda Malaysia) ini akan melibatkan sebanyak 50 – 200 buah masjid di seluruh negeri Kedah melalui kaedah infak dan penjanjian pembelian kuasa ‘PPA’ yang akan dibekalkan dengan solar tenaga bersih. Pemasangan sistem solar ini akan menjadikan masjid terlibat sebagai perintis utama penggunaan Tenaga Lestari Teknologi Hijau (Perintis Masjid Hijau). Pihak MAIK sentiasa memberi sokongan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap faedah teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui (Renewable Energy).