ALOR SETAR, 24 September 2026 – Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) menerima kunjungan hormat delegasi TV AlHijrah yang diketuai oleh Tuan Haji Saifulizan Sidek, Pengurus Besar Kumpulan Integrasi Media & Hal Ehwal Korporat disambut oleh Dr Haji Abdul Rahim bin Haji Abdul Rahman, Ketua Pegawai Operasi MAIK, di sini.
Pertemuan tersebut menjadi ruang kepada MAIK dan TV AlHijrah untuk bertukar pandangan mengenai potensi kerjasama dalam bidang penyiaran, dakwah, komunikasi strategik, pembangunan kandungan Islamik serta hebahan program dan aktiviti kemasyarakatan. Perkara tersebut turut selari dengan hasrat TV AlHijrah untuk memperluas kerjasama dan penyampaian maklumat berkaitan hal ehwal Islam kepada masyarakat.
Antara perkara yang turut dibincangkan ialah cadangan kerjasama dalam Program Wakaf Fund Run 2026 yang akan berlangsung pada 7 November 2026 di Dataran Medan Bandar, Alor Setar termasuk sokongan hebahan dan promosi menerusi platform penyiaran, digital serta media sosial TV AlHijrah.
Hadir sama, Tuan Haji Hanan Rahman, Eksekutif Kanan Komunikasi Korporat TV AlHijrah; Puan Nurhaniza Mat Husin, Eksekutif Kanan Komunikasi Korporat TV AlHijrah; Tuan Ahmad Zaki bin Haji Ghazali, Ketua Bahagian Wakaf MAIK; Tuan A’mmar bin Mohd Suhaimi, Ketua Unit Wakaf Tunai MAIK; serta pegawai-pegawai MAIK.
Kunjungan berkenaan turut membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk mengenal pasti bentuk kerjasama yang bersesuaian bagi memperluas penyampaian maklumat dan kandungan bermanfaat kepada masyarakat.