BERITA MAIK

MAIK TERIMA KUNJUNGAN HORMAT DELEGASI JAWHAR

KOTA SETAR, 10 September 2026 – Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) menerima kunjungan hormat delegasi Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) yang diketuai oleh YBhg. Dato’ Mohd Zaidi bin Ramli, Ketua Pengarah JAWHAR, di sini, hari ini.

Delegasi JAWHAR disambut oleh Yang Berbahagia Dato’ Hj. Mohd Yusri bin Hj. Md Daud, Timbalan Yang Dipertua MAIK, bersama ketua-ketua bahagian dan unit MAIK. Pertemuan tersebut menjadi platform kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan serta membincangkan perkara berkaitan pengurusan dan pembangunan wakaf serta sumber am.

 

Antara fokus utama yang dibincangkan ialah potensi penglibatan MAIK dalam Inisiatif Malaysia Blockchain Infrastructure (MBI) bagi meneroka pemanfaatan tanah wakaf menerusi teknologi blockchain. Perbincangan turut menyentuh pengurusan Wang Tak Dituntut (WTD) dalam akaun masjid dan surau susulan pembubaran ahli jawatankuasa masjid atau surau.

 

Selesai sesi perbincangan, kunjungan diteruskan dengan lawatan ke Projek Pembangunan JAWHAR-MAIK di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK Ke-9), Asrama Anak Yatim Darul Aitam. Lawatan tersebut memberi peluang kepada delegasi JAWHAR meninjau projek berteraskan sosial yang telah dibangunkan di atas tanah wakaf berkenaan sejak tahun 2009.

 

Delegasi kemudiannya meneruskan lawatan ke Projek Wakaf Taman Sultan Sallehuddin (TSS), Telok Chengai, Alor Setar, bagi meninjau pembangunan projek komersial wakaf di kawasan berkenaan. Lawatan tersebut turut memberi gambaran mengenai potensi tanah wakaf untuk dibangunkan secara produktif dan dikomersialkan bagi menjana hasil yang seterusnya dapat disalurkan untuk manfaat ummah.

 

Hadir sama dalam delegasi JAWHAR ialah Dr. Hairolanuar bin Mohamad, Timbalan Ketua Pengarah; Puan Azura Azreen binti Yusof, Pengarah Bahagian Wakaf; Encik Asfarizul bin Othman, Pengarah Bahagian Baitulmal; Encik Zulkurnain bin Hassan, Ketua Unit Integriti dan Komunikasi Korporat; Encik Hanif bin Jamaludin, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Wakaf; Puan Norasikin binti Mamat, Penolong Pengarah Bahagian Baitulmal; Puan Nur Haslindawati binti Hussain, Akauntan Bahagian Wakaf; serta Encik Nasrul Aiman bin Zulkifli, Pegawai Khas Ketua Pengarah.

 

Kunjungan hormat ini diharap dapat memperkukuh hubungan kerjasama antara MAIK dan JAWHAR dalam aspek pengurusan wakaf dan sumber am serta membuka ruang kepada tindakan susulan terhadap perkara yang telah dibincangkan.

 

Facebook
LinkedIn
WhatsApp
X

ARKIB BERITA MAIK

Himpunan koleksi berita dan aktiviti MAIK bagi tahun 2026