MAIK RAI SANJUNGAN JASA, APRESIASI KECEMERLANGAN KAKITANGAN TAHUN 2025
ALOR SETAR, 5 Ogos 2026 – Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) menganjurkan Majlis Sanjungan Jasa & Apresiasi Kecemerlangan Kakitangan MAIK Tahun 2025 yang berlangsung di Raia Hotel & Convention Centre, Alor Setar, hari ini.
Majlis yang diadakan sebagai tanda penghargaan kepada warga kerja MAIK turut menjadi wadah bagi meraikan jasa dan sumbangan kakitangan yang telah menamatkan perkhidmatan, selain mengiktiraf pencapaian serta kecemerlangan warga kerja dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab sepanjang tahun 2025.
Antara yang diraikan ialah Dato’ Dr. Haji Abdul Ghani @ Zulkifli bin Haji Zainuddin, Mantan Setiausaha MAIK; Puan Rubita binti Ahmad, Mantan Penolong Akauntan MAIK serta Encik Fazli bin Che Long, Mantan Pembantu Khidmat Am MAIK.
Penghargaan yang diberikan kepada ketiga-tiga mantan kakitangan tersebut merupakan tanda terima kasih MAIK atas segala jasa, komitmen dan khidmat bakti yang telah dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan.
Dalam majlis yang sama, MAIK turut meraikan Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025, iaitu Puan Azarita binti Ahmad, Encik Ahmad bin Othman, Puan Husna binti Ahmad, Puan Haslina Li binti Abdullah, Encik Wan Hariz Hazimin bin Abdul Rahman dan Encik Muhammad Imran Punggut bin Abdullah.
Pengiktirafan tersebut diberikan sebagai penghargaan terhadap prestasi, dedikasi, komitmen serta sumbangan yang ditunjukkan oleh penerima dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan sepanjang tahun 2025.
Selain itu, MAIK turut memberikan penghargaan kepada penerima Anugerah Kakitangan Terbaik bagi bulan Julai 2026 yang terdiri daripada Encik Abdul Malek bin Shaari, Encik Jasni bin Abdullah, Puan Marziana binti Zainuddin, Encik Muhammad Kamil bin Husin, Encik Muhamad Ajwad bin Mohd Sobri, Encik Muhammad Ikmal Khuzaimi bin Mohd Yusri, Encik Nassrudin bin Hasim, Encik Mohd Zulhilmi bin Mohd Naim, Puan Siti Athirah binti Zainol dan Puan Mastura binti Ab Rahman.
Anugerah tersebut menjadi salah satu bentuk apresiasi MAIK terhadap kakitangan yang memperlihatkan prestasi kerja, disiplin, komitmen dan semangat kerja yang tinggi dalam melaksanakan tugasan harian.
Majlis ini diharap dapat menyemarakkan budaya kerja yang positif dalam kalangan warga MAIK, di samping menjadi pemangkin kepada seluruh kakitangan untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat serta melaksanakan amanah dengan penuh integriti dan profesionalisme.
MAIK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua penerima anugerah serta mantan kakitangan atas segala jasa dan sumbangan yang telah diberikan. Semoga segala khidmat bakti yang dicurahkan menjadi amal jariah dan terus dikenang oleh seluruh warga MAIK.