KOTA SETAR, 1 Ogos 2026 – Sinergi antara Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) dengan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Perpaduan Negeri Kedah dalam penganjuran Program Bidadari Kedah: Menjejaki Az-Zahra’ hari ini berjaya menghimpunkan hampir 800 peserta dari seluruh negeri Kedah.
Program yang berlangsung di Dewan Seri Mentaloon, Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah itu diserikan dengan sesi tausiah dan selawat yang dipimpin oleh dua pendakwah terkenal negeri Kedah, iaitu Ustazah Siti Hajar Ghazali dan Ustazah Daie Hamidah Abdul Razak.
MAIK menerusi Unit Sumber Am dan Unit Wakaf Tunai turut mengambil peluang membuka reruai pameran sepanjang program berlangsung. Reruai MAIK menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada para peserta yang hadir untuk mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan yang disediakan, antaranya pengiraan dan pembayaran fidyah, infak serta wakaf tunai.
Majlis diakhiri dengan ucapan penutup yang disampaikan oleh Dato’ Hajah Halimaton Shaadiah Saad selaku penganjur utama program. Turut hadir selaku wakil kepada Ketua Bahagian Baitulmal, Puan Siti Syahiza binti Ishak, bersama beberapa pegawai wanita MAIK.
MAIK akan terus komited mendekati dan menyantuni masyarakat di seluruh Negeri Kedah menerusi pelbagai program kemasyarakatan, dakwah dan lapangan, sekali gus memperluaskan penyampaian maklumat serta perkhidmatan kepada ummah selaras dengan aspirasi “MAIK Cemerlang, Ummah Sejahtera.
Dilihat: 30