KUBANG PASU, 30 Julai 2026 – Meriah. Itulah ungkapan yang paling tepat bagi menggambarkan Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah: Komuniti Felda Sihat, Kedah Sejahtera yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang hari ini di Dewan Semai Bakti, FELDA Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam, Kedah.
Program yang turut disertai oleh Unit Sumber Am Baitulmal dan Unit Wakaf Tunai, Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) selaku pempamer bersama beberapa agensi kerajaan dan swasta ini telah disempurnakan oleh Yang Dipertua MAIK, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Salehuddin, yang berkenan berangkat menyampaikan titah perasmian. Baginda kemudiannya menyempurnakan simbolik pelancaran program sebelum meneruskan sesi meninjau reruai pameran serta jualan yang disediakan.
Reruai MAIK yang sentiasa mengalu-alukan kehadiran pengunjung untuk mendapatkan perkhidmatan Baitulmal serta menyumbang bersama Wakaf Tunai telah menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pegawai-pegawai daripada agensi kerajaan dan swasta yang tidak putus-putus singgah ke reruai MAIK.
Turut hadir memeriahkan program ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; bersama beberapa dif jemputan kenamaan yang lain. MAIK turut diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi MAIK, Dr. Haji Abdul Rahim bin Abdul Rahman serta beberapa orang pegawai dari MAIK.
MAIK menerusi Unit Sumber Am Baitulmal dan Unit Wakaf Tunai akan terus giat dan proaktif turun ke lapangan dalam usaha menyebarluaskan maklumat berkaitan perkhidmatan MAIK kepada masyarakat di seluruh Negeri Kedah.