KOTA SETAR, 26 Julai 2026 – Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) menerusi Ketua Pegawai Operasi, Dr. Hj. Abdul Rahim bin Hj. Abdul Rahman bersama pegawai dan kakitangan Bahagian Baitulmal telah menyampaikan sumbangan kepada pesakit-pesakit terlantar menerusi Program Bantuan Sejahtera Pesakit Terlantar (BSPT) di sekitar daerah Kota Setar, hari ini.
Program yang menyasarkan sembilan orang penerima itu diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Perpaduan Negeri Kedah, YB Dato’ Hajah Halimaton Shaadiah Saad.
Kesemua penerima terdiri daripada tiga orang di DUN Suka Menanti, tiga orang di DUN Anak Bukit dan tiga orang lagi di DUN Kubang Rotan.
Dalam program tersebut, MAIK menyalurkan sumbangan wang tunai berjumlah RM1,000.00 kepada setiap penerima yang dikreditkan terus ke akaun masing-masing, di samping menyerahkan Kit Tabaruk yang mengandungi barangan makanan asas bagi membantu meringankan beban mereka.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Rashidi Razak; Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi; Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kedah, Fadzilah Abd Rahman; Pegawai Zakat Daerah Kota Setar, Dr. Abd Hadi Abd Majid; serta wakil daripada Menteri Besar Incorporated (MBI) dan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Suka Menanti serta Kubang Rotan.
Program BSPT merupakan inisiatif berterusan kerajaan negeri dengan kerjasama pelbagai agensi bagi menyantuni pesakit terlantar dan memastikan kebajikan golongan yang memerlukan terus diberi perhatian melalui penyampaian bantuan secara terus ke rumah penerima.