ALOR SETAR, 22 Julai 2025 – Satu sesi Taklimat Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Kedah Darul Aman) (Pindaan) 2025 telah diadakan di Bilik Mesyuarat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) bagi memberi penerangan berkaitan pindaan yang telah dibuat terhadap enakmen tersebut kepada agensi-agensi berkaitan.
Taklimat ini telah dihadiri oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK). Turut serta sebagai peserta ialah wakil daripada JHEAIK, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah, Jabatan Mufti Negeri Kedah, Jabatan Pendakwaan Negeri Kedah dan Lembaga Zakat Negeri Kedah.
Sesi taklimat telah disampaikan oleh Pegawai Undang-Undang MAIK Cik Nurul ’Ain Syafiqah binti Mohd Iqbal, yang memberikan penerangan mengenai pindaan-pindaan yang telah dibuat dalam Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Kedah Darul Aman) (Pindaan) 2025 serta implikasi pelaksanaannya kepada agensi-agensi yang terlibat.
Penganjuran taklimat ini diharap dapat meningkatkan kefahaman dan menyelaras pelaksanaan peruntukan enakmen yang dipinda, sekali gus memperkukuh pentadbiran hal ehwal Islam di Negeri Kedah secara lebih berkesan dan selaras dengan kehendak perundangan semasa.
Dilihat: 49