PADANG TERAP, 17 Julai 2026 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tuanku Sultan Negeri Kedah Darul Aman perkenan berangkat ke Majlis Perasmian Masjid Jami’ul Khair Tong Pelu bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan KDYMM Tuanku Sultan Negeri Kedah Darul Aman yang ke-84.
Turut berangkat hadir, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tuanku Raja Muda Kedah merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (MAIK).
Keberangkatan KDYMM Tuanku Sultan Negeri Kedah Darul Aman dan DYTM Tuanku Raja Muda disambut oleh YAB Dato’ Seri Haji Sanusi bin Md Nor, Menteri Besar Kedah; YB Dato’ Seri Haji Norizan bin Khazali, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah dan Y.Bhg Dr. Hj. Abdul Rahim bin Hj. Abdul Rahman, Ketua Pegawai Operasi MAIK.
Majlis dimulakan dengan sesi bergambar di antara KDYMM Tuanku Sultan Negeri Kedah Darul Aman, DYTM Tuanku Raja Muda Kedah dan Ahli Jawatankuasa Masjid Jami’ul Khair Tong Pelu sebelum diteruskan dengan ucapan aluan oleh YB Dato’ Ustaz Mohd Azam bin Abd Samat, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan). Beliau memaklumkan bahawa pembinaan masjid ini merupakan hasil peruntukan daripada Pejabat Pembangunan Perseketuan (ICU) Negeri Kedah dan kutipan Wakaf Tunai MAIK.
Majlis mencapai kemuncaknya dengan titah ucapan perasmian dan acara menandatangani plak perasmian Masjid Jami’ul Khair, Tong Pelu oleh KDYMM Tuanku Sultan Negeri Kedah Darul Aman sebelum diteruskan dengan Solat Fardhu Jumaat yang diimamkan oleh Tuan Imam Hj. Mohd Khoiri bin Idris.
Dilihat: 20