SIK, 15 Julai 2026 – Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Waqaf Malaysia meneruskan usaha membantu mangsa banjir melalui Majlis Penyerahan Agihan Bantuan Musaadah kepada penduduk terjejas di daerah Sik dan Padang Terap yang berlangsung di Masjid Al-Abrar, Kampung Danglau, hari ini.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Y.Bhg Dr. Hj. Abdul Rahim bin Hj. Abdul Rahman, Ketua Pegawai Operasi MAIK. Turut hadir wakil JAKIM, Yayasan Waqaf Malaysia, Pejabat Daerah dan Tanah Sik, Pejabat Daerah dan Tanah Padang Terap, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Agama Daerah, jawatankuasa Masjid Al-Abrar, sukarelawan serta pemimpin masyarakat setempat.
Dalam ucapannya, Ketua Pegawai Operasi MAIK merakamkan penghargaan kepada JAKIM, Yayasan Waqaf Malaysia serta semua agensi yang berganding bahu menjayakan program berkenaan. Beliau berkata, kerjasama erat antara agensi kerajaan, institusi Islam dan masyarakat mencerminkan komitmen bersama dalam memastikan kebajikan mangsa bencana sentiasa diberi perhatian.
Menurut beliau, banjir yang melanda Kedah pada penghujung tahun 2025 telah memberi kesan besar kepada kehidupan penduduk, khususnya di daerah Sik dan Padang Terap. Ramai mangsa kehilangan harta benda, mengalami kerosakan kediaman serta terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Beliau memaklumkan bahawa seramai 24 keluarga di daerah Sik ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Danglau, manakala 14 keluarga di daerah Padang Terap berlindung di PPS Dewan Badminton Lubuk Merbau sepanjang tempoh bencana tersebut.
Pada majlis berkenaan, seramai 41 penerima daripada kedua-dua daerah menerima Bantuan Musaadah berjumlah RM500 setiap seorang, melibatkan jumlah keseluruhan agihan sebanyak RM20,500.00 sebagai usaha membantu meringankan beban mereka yang terjejas akibat bencana banjir.
Katanya, penyaluran Bantuan Musaadah bukan sahaja bertujuan memenuhi keperluan asas mangsa, malah menjadi lambang solidariti, keprihatinan dan tanggungjawab bersama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, institusi Islam serta masyarakat dalam membantu mereka yang ditimpa musibah.
Mengulas tuntutan Islam dalam membantu golongan memerlukan, beliau memetik firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah ayat 2 yang menyeru umat Islam agar saling tolong-menolong dalam perkara kebajikan dan ketakwaan. Beliau berharap setiap bantuan yang disalurkan mampu meringankan beban penerima serta menyuntik semangat untuk mereka bangkit meneruskan kehidupan.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kerjasama strategik antara JAKIM, Yayasan Waqaf Malaysia, MAIK, agensi kerajaan serta pelbagai pertubuhan akan terus diperkukuhkan bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela, khususnya ketika berdepan situasi bencana.
Pada masa sama, beliau berharap semua penerima memanfaatkan bantuan yang diterima sebaik-baiknya bagi memenuhi keperluan keluarga, di samping mendoakan agar mereka dikurniakan ketabahan, kesabaran dan rezeki yang lebih baik daripada Allah SWT.
Majlis diakhiri dengan penyampaian Bantuan Musaadah kepada mangsa banjir dari daerah Sik dan Padang Terap sebagai simbol keprihatinan JAKIM, Yayasan Waqaf Malaysia dan MAIK dalam usaha memperkukuh jaringan kebajikan serta meringankan beban rakyat yang terkesan akibat bencana banjir.




