SIK, 23-25 Julai 2026 – Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (PUSBA) berjaya menganjurkan Program Khemah Ibadah Sesi 2/2026 bertempat di D’Puncak Beris, Sik. Program tiga hari dua malam ini disertai oleh 45 orang pelajar bulanan PUSBA Sesi 2/2026 dengan bimbingan barisan tenaga pengajar.
 
Pengisian hari pertama suai kenal dan motivasi Slot 1 (Ice Breaking) telah dikendalikan oleh Ustazah Siti Athirah Binti Zainol (Tenaga Pengajar PUSBA) bagi membina keserasian dan kerjasama kumpulan dalam kalangan peserta. Slot 2 dan 3 yang diuruskan oleh Ustaz Muhammad Shahrul Fikri bin Halim (Tenaga Pengajar PUSBA) melalui aktiviti fizikal ringan yang memupuk semangat kesukanan dan aktiviti interaktif kefahaman agama untuk menguji kefahaman asas ibadah peserta. Slot 4 (Sesi Khas) telah disampaikan oleh YBhg Dr. Haji Abdul Rahim bin Haji Abdul Rahman, Ketua Pegawai Operasi Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK), yang menyuntik motivasi dan hala tuju kerohanian para pelajar.
 
Bagi memantapkan lagi ibadah peserta kem, telah diadakan satu sesi qiamullail serta kuliah subuh yang disampaikan oleh YBhg Dr. Haji Abdul Rahim bin Haji Abdul Rahman, Ketua Pegawai Operasi Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK). Cabaran fizikal dan kerja pasukan juga dilatih melalui aktiviti outdoor iaitu Jungle Trekking dan juga Kayak yang dikendalikan oleh jurulatih D’Puncak Beris bagi menguji ketahanan mental dan fizikal peserta menerusi aktiviti luar serta membina keyakinan diri peserta di air.
 
Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah dirasmikan oleh Tuan Pengetua PUSBA, Tuan Haji Fakhrurrazi bin Yub, BCK. Beliau turut menyampaikan hadiah kepada kumpulan dan peserta terbaik program. Khemah ibadah ini melabuhkan tirainya secara rasmi pada jam 2:00 petang dengan jayanya.
Dilihat: 64