KOTA SETAR, 2 Julai 2026 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tuanku Sultan Negeri Kedah Darul Aman, berkenan berangkat menghadiri Majlis Bacaan Yasin dan Doa Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan KDYMM Tuanku Sultan Negeri Kedah Darul Aman Ke-84 yang berlangsung di Masjid Negeri Masjid Zahir, di sini.
Turut berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tuanku Raja Muda Kedah merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK), serta Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah.
Keberangkatan KDYMM Tuanku Sultan Kedah, DYTM Tuanku Raja Muda Kedah dan DYAM Tunku Mahkota Kedah disambut oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor, Menteri Besar Kedah; Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Norizan bin Khazali, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman; serta Yang Berbahagia Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Rahim, Ketua Pegawai Operasi MAIK.
Baginda kemudiannya berkenan menunaikan solat fardu Maghrib yang diimamkan oleh Tuan Syeikh Mohd Naim bin Haji Ahmad, Imam Besar Masjid Negeri Masjid Zahir, sebelum diteruskan dengan majlis bacaan Yasin dan doa.
Seusai majlis, KDYMM Tuanku Sultan Kedah berkenan menunaikan solat fardu Isyak sebelum berangkat pulang, diikuti oleh para dif kehormat.
Dilihat: 108