LAWATAN SAMBIL BELAJAR PUSBA KE PERLIS

PERLIS, 29 Oktober 2026 – Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (PUSBA) telah berjaya menganjurkan program lawatan sambil belajar ke Negeri Perlis yang disertai oleh seramai 33 orang pelajar dengan diiringi oleh 9 orang kakitangan pengurusan.

Program kembara ilmu ini bertujuan memberikan pendedahan secara praktikal kepada para pelajar mengenai fiqh musafir mengikut syariat Islam. Sepanjang program berlangsung, para pelajar dibimbing secara langsung mengenai cara mengendalikan ibadah ketika bermusafir, terutamanya kaedah pelaksanaan solat jamak dan qasar serta adab-adab perjalanan.

Pengetua PUSBA, Tuan Haji Fakhrurrazi bin Yub BCK., berkata program ini bukan sekadar lawatan biasa, malah ia merupakan satu platform pengukuhan fardhu ain yang sangat mustahak. Menurut beliau, pendedahan realiti sebegini membantu pelajar memahami bahawa tuntutan ibadah tetap wajib ditunaikan dengan kelonggaran (rukhsah) yang telah ditetapkan oleh Islam walaupun ketika berada dalam perjalanan jauh.

Rombongan PUSBA memulakan penjelajahan di Muzium Kota Kayangan bagi menyelami khazanah sejarah dan warisan negeri, sebelum bergerak ke Kampung Warna-Warni Seberang Ramai yang mempamerkan keunikan landskap komuniti setempat. Pelajar kemudiannya dibawa melawat Taman Ular dan Reptilia Perlis untuk menghayati kebesaran penciptaan flora dan fauna, sebelum program diakhiri dengan aktiviti santai di pusat membeli-belah terkemuka, Padang Besar.
 
Melalui impak positif daripada pengisian program ini, pihak pengurusan PUSBA berharap para pelajar dapat menyerap ilmu yang disampaikan dan berupaya mengaplikasikan kaedah solat jamak dan qasar ini dengan yakin dalam kehidupan seharian mereka pada masa hadapan.

Dilihat: 109

Facebook
LinkedIn
WhatsApp
X

ARKIB BERITA MAIK

Himpunan koleksi berita dan aktiviti MAIK bagi tahun 2026