KOTA SETAR, 26 Jun 2026: Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tuanku Raja Muda Kedah merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) perkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultanah Bahiyah, Alor Setar, hari ini.
Keberangkatan tiba DYTM Tuanku Raja Muda Kedah disambut oleh Sohibus Samahah Dato’ Paduka (Dr.) Syeikh Fadzil bin Haji Awang, Mufti Negeri Kedah; Yang Berhormat Dato’ Ustaz Mohd Azam bin Abd Samat, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan); dan Yang Berbahagia Tuan Syeikh Mohamad Subhi bin Abdullah, Ketua Pegarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK).
Baginda kemudiannya perkenan menunaikan solat Jumaat secara berjemaah yang diimamkan oleh Ustaz Badrul Hafiz bin Mustafa Kamil, Imam Masjid Sultanah Bahiyah sebelum diakhiri dengan sesi bergambar bersama pegawai-pegawai Kerajaan Negeri Kedah dan Ahli Jawatankuasa Masjid Sultanah Bahiyah.
Hadir sama, pegawai dan kakitangan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK).