BALING, 23 Jun 2026 – Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) melalui Unit Bantuan Baitulmal telah turut serta dalam Program Bantuan Sejahtera Pesakit Terlantar (BSPT), iaitu satu inisiatif Kerajaan Negeri Kedah yang bertujuan membantu meringankan beban pesakit terlantar serta penjaga mereka melalui bantuan kewangan dan keperluan harian.
Program yang diketuai oleh YB Dato’ Hajah Halimaton Shaadiah binti Saad, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Perpaduan itu telah menyantuni seramai tujuh penerima dari tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah Baling iaitu DUN Bayu, DUN Kupang dan DUN Kuala Ketil.
Turut hadir menyertai program tersebut ialah YBhg. Dr. Haji Abdul Rahim bin Haji Abdul Rahman, Ketua Pegawai Operasi (COO) MAIK yang telah menyampaikan sumbangan MAIK berupa bantuan tunai berjumlah RM1,000.00 kepada setiap penerima melalui kemasukan terus ke akaun masing-masing. Selain itu, penerima turut menerima Kit Tabarruk yang mengandungi barangan makanan asas bagi membantu memenuhi keperluan harian mereka.
Penyertaan MAIK dalam program ini mencerminkan komitmen berterusan institusi ini dalam memperkasakan agenda kebajikan dan kesejahteraan ummah, khususnya golongan yang berdepan ujian kesihatan serta kesukaran hidup.
Hadir sama menjayakan program ini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri dan wakil-wakil DUN yang terlibat, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), wakil Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Menteri Besar Incorporated (MBI), pegawai dan kakitangan Bahagian Baitulmal MAIK serta agensi-agensi berkaitan yang bersama-sama berganding bahu dalam menyantuni rakyat yang memerlukan.
Dilihat: 94