BERITA MAIK

SEMINAR PEMERKASAAN INSTITUSI MASJID NEGERI KEDAH 2026 TEKANKAN PERPADUAN DAN TADBIR URUS PROFESIONAL

5 Mei 2026 (Alor Setar): Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tuanku Raja Muda Kedah merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) berkenan berangkat merasmikan Seminar Pemerkasaan Institusi Masjid Negeri Kedah Darul Aman Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Insaniah, Kompleks Lembaga Zakat Negeri Kedah, di sini.
 
Keberangkatan tiba DYTM Tuanku disambut oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Norizan bin Khazali; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Yang Berbahagia Dato’ Dr. Haji Abd. Ghani @ Zulkifli bin Haji Zainuddin, Pengarah JHEAIK merangkap Setiausaha MAIK dan Yang Berbahagia Dr. Hj. Abdul Rahim bin Hj. Abdul Rahman, Ketua Pegawai Operasi MAIK.
 
Seminar anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) melalui Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau ini menghimpunkan pengurusan masjid dan surau seluruh negeri bagi memperkukuh tadbir urus institusi masjid secara lebih sistematik, profesional dan berintegriti.
 
Dalam titah ucapan, baginda menegaskan bahawa masjid merupakan lambang kesatuan umat Islam dan tidak boleh dijadikan medan perbalahan atau perpecahan, sebaliknya perlu kekal sebagai institusi yang menyatukan masyarakat tanpa sebarang unsur politik.
 
Baginda turut menekankan kepentingan pengurusan kewangan yang telus dan amanah serta pematuhan terhadap garis panduan yang ditetapkan oleh MAIK dan JHEAIK, termasuk penggunaan pembesar suara secara berhemah.
 
Selain itu, baginda menyeru agar masjid diperkasa sebagai pusat pembangunan ummah yang komprehensif merangkumi aspek pendidikan, kebajikan, ekonomi dan pembangunan belia, di samping memanfaatkan teknologi digital untuk menyampaikan mesej Islam yang harmoni.
 
Mengakhiri titah, baginda berharap agar seluruh pengurusan masjid dapat memainkan peranan secara aktif dan bertanggungjawab dalam memartabatkan institusi masjid demi kesejahteraan umat Islam di negeri Kedah.
Facebook
LinkedIn
WhatsApp
X

ARKIB BERITA MAIK

Himpunan koleksi berita dan aktiviti MAIK bagi tahun 2026