16 April 2026 (Kota Setar): Majlis Penyerahan Projek Kabin Bilik Operasi Pendidikan Islam (KAFA) yang telah berlangsung di Sekolah Kebangsaan Sungai Baru hari ini merupakan kesinambungan kerjasama strategik antara Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) serta sumbangan daripada Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).
Majlis yang diadakan di Dewan Sekolah Kebangsaan Sungai Baru itu telah disempurnakan dengan kehadiran Ketua Pegawai Operasi MAIK, Yang Berbahagia Dr. Hj. Abdul Rahim bin Abdul Rahman; Ketua Pegawai Operasi Bank Islam Malaysia Berhad; Pegawai Pendidikan Daerah Kota Setar; Ketua Pengarah Bahagian Pendidikan JHEAIK; Guru Besar SK Sungai Baru; Pegawai Agama Daerah Kota Setar serta para guru dan kakitangan daripada jabatan serta agensi berkaitan.
Projek pembinaan kabin bilik operasi pendidikan Islam ini bertujuan menyediakan ruang kerja yang kondusif, selesa dan berprivasi kepada guru-guru KAFA dalam melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan.
Inisiatif ini telah memasuki tahun kelima pelaksanaannya sejak dimulakan pada tahun 2022 dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM282,040.00. Bagi tahun 2026, sebanyak lima buah sekolah lagi di negeri Kedah akan menerima manfaat daripada projek ini dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM100,000.00.
Dalam ucapan perasmiannya, Ketua Pegawai Operasi MAIK memaklumkan bahawa fokus utama Baitulmal MAIK adalah untuk menyediakan bantuan dalam bentuk yang tidak disediakan oleh agensi lain di negeri Kedah. Beliau turut menjelaskan bahawa penubuhan Unit Tabung Amanah Baitulmal Kedah berperanan dalam meningkatkan hasil Baitulmal melalui empat sumber utama, termasuk dana daripada sumber wang tidak patuh syariah yang disalurkan bagi pelaksanaan projek pembinaan kabin ini.
Majlis tersebut disempurnakan dengan penyerahan simbolik replika kunci kepada pihak sekolah sebagai tanda rasmi penyerahan kabin berkenaan, bersama rakan sinergi JHEAIK dan Bank Islam Malaysia Berhad.
Dilihat: 9







