BERITA MAIK

MAIK SUMBANG KABIN GURU KAFA SK TELOK JAMAT

15 April 2026 (Pokok Sena): Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) telah mengadakan Majlis Penyerahan Kabin Bilik Operasi Pendidikan Islam (KAFA) di Sekolah Kebangsaan Telok Jamat, hari ini.
 
Majlis ini disempurnakan oleh Ketua Bahagian Baitulmal MAIK, Encik Muhammad Suhaimi Zulkiflee, yang memaklumkan bahawa projek pembinaan kabin guru KAFA merupakan inisiatif hasil dana Baitulmal, khususnya daripada sumber wang tidak patuh syariah.
 
Inisiatif yang bermula sejak 2022 ini bertujuan menyediakan ruang kerja yang lebih kondusif, selesa dan berprivasi kepada guru KAFA dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran.
 
Sehingga tahun 2025, sebanyak 14 kabin telah berjaya dibina dengan peruntukan RM282,040. Bagi tahun 2026, lima lagi sekolah di Kedah akan menerima manfaat projek ini dengan anggaran kos RM100,000.
 
Majlis turut menyaksikan penyerahan simbolik replika kunci kepada pihak sekolah sebagai tanda rasmi penyerahan kabin tersebut. MAIK turut mengalu-alukan sumbangan pelbagai pihak bagi memperluaskan lagi pelaksanaan inisiatif ini demi memperkasakan pendidikan Islam di negeri Kedah.