BERITA MAIK

TUANKU RAJA MUDA KEDAH BERANGKAT HADIR SESI PENGENALAN COO MAIK DAN TAKLIMAT PELAN STRATEGIK 2026–2030 MAIK

13 April 2026 (Kota Setar): Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tuanku Raja Muda Kedah merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) berkenan berangkat hadir ke Sesi Pengenalan Rasmi Ketua Pegawai Operasi (COO) MAIK dan Taklimat Pelan Strategik MAIK 2026–2030 yang berlangsung di Puteri Palmera Glass Hall, di sini.

Keberangkatan tiba baginda Tuanku disambut oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Norizan bin Khazali, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Yang Berbahagia Dato’ Dr. Syeikh Haji Abd. Ghani @ Zulkifli bin Haji Zainuddin, Setiausaha MAIK serta Yang Berbahagia Dr. Hj. Abdul Rahim bin Hj. Abdul Rahman, Ketua Pegawai Operasi MAIK.

Dalam titah ucapan, baginda mengalu-alukan pelantikan Yang Berbahagia Dr. Haji Abdul Rahim bin Haji Abdul Rahman sebagai Ketua Pegawai Operasi MAIK yang baharu dan menzahirkan keyakinan bahawa kepimpinan beliau mampu memperkukuhkan pengurusan serta meningkatkan pencapaian MAIK ke arah lebih cemerlang.

Selain itu, baginda turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berbahagia Dato’ Dr. Syeikh Haji Abd Ghani bin Haji Zainuddin, Setiausaha MAIK merangkap Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah yang akan bersara wajib pada 25 Mei 2026 atas segala jasa dan sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatan.

Dalam usaha menjayakan Pelan Strategik MAIK 2026–2030, baginda menekankan beberapa aspek penting termasuk keperluan transformasi minda yang lebih proaktif, pengukuhan budaya kerja berpasukan, pemantauan berasaskan data secara bersepadu serta pelaksanaan pendekatan sistematik melalui kaedah PDCA (Plan, Do, Check, Action).

Baginda juga bertitah agar pelan strategik tersebut dinilai secara berkala bagi memastikan setiap inisiatif dilaksanakan dengan berkesan dan sentiasa ditambah baik.

Mengakhiri titah, baginda berharap agar sesi taklimat tersebut dapat memberikan kefahaman yang jelas kepada seluruh warga MAIK mengenai hala tuju organisasi, seterusnya memastikan segala perancangan dapat dilaksanakan dengan penuh komitmen demi memartabatkan peranan MAIK dan kesejahteraan umat Islam di Negeri Kedah.