05 April 2026 (Kuala Muda) – Yang Berbahagia Dr. Haji Abdul Rahim bin Haji Abdul Rahman, Ketua Pegawai Operasi (COO) Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) telah merasmikan Majlis Tautan Mahabbah Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (PUSBA), hari ini.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Brigedier Jeneral Mohd Fouzi bin Sulaiman, Panglima 6 Briged Angkatan Tentera Malaysia; Tuan Abdul Malek bin Shaari, Penolong Setiausaha MAIK; serta ketua-ketua bahagian dan warga kerja MAIK.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengetua PUSBA, Tuan Fakhrurrazi bin Yub yang menzahirkan ucapan selamat datang kepada Ketua Pegawai Operasi MAIK yang baru melapor diri pada 1 April 2026. Lawatan ini juga merupakan kunjungan sulung beliau ke PUSBA sejak memegang jawatan tersebut.
Dalam ucapan perasmiannya selaku Ketua Pegawai Operasi MAIK, beliau menegaskan komitmen untuk terus memperkasa PUSBA agar kekal maju dan berdaya saing melalui pelaksanaan kerjasama strategik yang lebih meluas, bukan sahaja melibatkan agensi-agensi agama, malah turut merangkumi sektor korporat dan pihak berkepentingan lain.
Sejurus selesai majlis perasmian dan jamuan, beliau turut mengadakan tinjauan mengejut ke beberapa fasiliti termasuk kelas, asrama dan pejabat pentadbiran PUSBA. Tinjauan tersebut bertujuan memastikan tahap kebersihan dan kekemasan sentiasa terpelihara, seterusnya meningkatkan imej institusi di mata masyarakat.



