21 Mac 2026 (Kota Setar): Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tuanku Sultan Negeri Kedah Darul Aman perkenan berangkat menunaikan Solat Sunat Hari Raya Aidilfitri di Masjid Zahir, di sini, hari ini.
Turut berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tuanku Raja Muda Kedah merangkap Yang Dipertua MAIK; Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda Binti Mohamad Ariff, Tuanku Raja Puan Muda Kedah; Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah dan Duli Yang Amat Mulia Che Puan Nur Julie Ariff, Tunku Puan Mahkota Kedah.
Hadir berangkat sama, Yang Teramat Mulia Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Bendahara Kedah; Yang Teramat Mulia Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz, Tunku Temenggong Kedah dan Yang Teramat Mulia Tunku Sulaiman Badlishah, Cucunda Baginda Tuanku Sultan.
Turut hadir Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Bin Md Nor, Menteri Besar Kedah; Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Norizan Bin Khazali, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah; Yang Berbahagia Dato’ Dr. Haji Abd. Ghani @ Zulkifli bin Haji Zainuddin, Setiausaha MAIK serta dif-dif kenamaan yang lain.
Baginda Tuanku Sultan bersama yang lain menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Zahir, dan seterusnya diteruskan dengan bacaan khutbah Hari Raya Aidilfitri.
Selesai khutbah, Baginda Tuanku bercemar duli mengurniakan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir sebelum berangkat pulang.













