BERITA MAIK

MAJLIS PENYERAHAN SUMBANGAN KEPADA MANGSA BANJIR NEGERI KEDAH MELALUI DANA TABUNG MUSA’ADAH JAKIM –YAYASAN WAKAF MALAYSIA

12 Mac 2026 (Baling): Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) telah menganjurkan Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Mangsa Banjir Negeri Kedah melalui Dana Tabung Musa’adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia–Yayasan Wakaf Malaysia (JAKIM–YWM) yang berlangsung di Dewan Terbuka Pejabat Pertahanan Awam Daerah Baling, di sini.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Berbahagia Tuan Muhammad Suhaimi bin Zulkiflee, Ketua Bahagian Baitulmal MAIK. Dalam ucapannya, beliau memaklumkan bahawa seramai 128 keluarga yang terkesan akibat bencana banjir di daerah ini akan menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM500 setiap keluarga, yang akan disampaikan kepada ketua isi rumah.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan perasmian oleh Yang Berusaha Tuan Shakbani bin Awang, Pegawai Takmir Negeri Kedah. Dalam ucapan tersebut, beliau menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa banjir di daerah ini serta berharap agar sumbangan yang disalurkan dapat membantu meringankan beban mereka, khususnya dalam membuat persiapan menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

Majlis diakhiri dengan sesi penyerahan sumbangan kepada para penerima yang terlibat dan sesi bergambar di antara tetamu jemputan dan para penerima sumbangan.