09 Mac 2026 (Pokok Sena) – Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tuanku Raja Muda Kedah merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK), berkenan berangkat ke Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2026/1447 anjuran MAIK yang berlangsung di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah Pokok Sena, di sini.
Keberangkatan tiba Tuanku Raja Muda Kedah telah disambut oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Norizan bin Khazali, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah; Sohibus Samahah Dato’ Paduka (Dr.) Syeikh Fadzil bin Haji Awang, Mufti Negeri Kedah; Yang Berbahagia Dato’ Dr. Syeikh Haji Abd. Ghani @ Zulkifli bin Haji Zainuddin, Setiausaha MAIK; serta Anggota-anggota MAIK.
Baginda Tuanku Raja Muda Kedah kemudiannya dipersembahkan dengan ucapan alu-aluan oleh Setiausaha MAIK. Dalam ucapan tersebut, dimaklumkan bahawa sebanyak RM644,000.00 telah diperuntukkan bagi Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2026/1447 kepada 3,120 orang penerima terpilih di seluruh negeri Kedah.
Baginda seterusnya berkenan menyampaikan sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM300.00 serta kuih raya kepada 200 orang penerima bagi majlis ini yang terdiri daripada golongan fakir miskin, ibu atau bapa tunggal serta individu kurang upaya. Para penerima tersebut merupakan penduduk dari empat kariah masjid iaitu Masjid Sungai Durian, Masjid An-Nur Taman Bandar Baharu, Masjid Al-Huda Pokok Sena Dalam dan Masjid Panchor.
Sebelum berangkat pulang, Baginda Tuanku Raja Muda Kedah turut berkenan akan sidang media bersama wakil-wakil media yang hadir membuat liputan pada majlis ini.


