25 Februari 2026 (Kota Setar): Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tuanku Sultan Negeri Kedah Darul Aman serta keluarga DiRaja baginda telah perkenan menyumbangkan sebanyak RM60,000 bagi mengimarahkan Program Sumbangan Infak Ramadan 1447H anjuran Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK).
Sumbangan Infak Ramadan ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri Setia DiRaja Dato’ Paduka Haji Bakar bin Din, Dato’ Pengelola Bijaya Diraja, mewakili Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah serta keluarga DiRaja baginda, kepada Setiausaha MAIK, YBhg. Dato’ Dr. Syeikh Haji Abd. Ghani @ Zulkifli bin Zainuddin.
Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Kedah merangkap Yang Dipertua MAIK menyeru kepada seluruh rakyat negeri Kedah untuk sama- sama mengimarahkan Program Sumbangan Infak Ramadan 1447H anjuran Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) menggunakan Kod QR yang disediakan.





