28 Februari 2026 (Kota Setar): Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tuanku Raja Muda Kedah merangkap Yang Dipertua MAIK perkenan berangkat ke Majlis Berbuka Puasa Anjuran Majlis Agama Islam Negeri Kedah bertempat di Raia Hotel, di sini.
Turut berangkat hadir, Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda binti Mohamad Ariff, Tuanku Raja Puan Muda Kedah, dan Anakanda Yang Teramat Mulia Tengku Sulaiman Badlishah bin Tuanku Sarafudin Badlishah.
Keberangkatan tiba Tuanku Raja Muda Kedah dan keluarga disambut oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Norizan bin Khazali, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, Sohibus Samahah Dato’ Paduka (Dr.) Syeikh Fadzil bin Haji Awang, Mufti Negeri Kedah Darul Aman dan Yang Berbahagia Dato’ Dr. Syeikh Haji Abd. Ghani @ Zulkifli bin Haji Zainuddin, Setiausaha MAIK.
Baginda Tuanku Raja Muda Kedah dan Tuanku Raja Puan Muda Kedah kemudian perkenan menyampaikan sumbangan berupa kuih raya kepada Anggota, Pegawai dan Kakitangan MAIK seramai 92 orang sebelum berangkat melawat reruai makanan yang disediakan oleh pihak hotel.
Setelah selesai santapan berbuka puasa, Baginda Tuanku Raja Muda Kedah dan keluarga kemudian perkenan menunaikan solat fardhu Maghrib secara berjemaah sebelum diteruskan dengan santapan malam yang diikuti dengan solat fardhu Isyak dan solat sunat Terawih secara berjemaah.
Majlis ini diakhiri dengan santapan moreh dan keberangkatan pulang Tuanku Raja Muda Kedah sekeluarga.
#majlisberbukapuasa
#raiahotel
#rajamudakedah
#maik












