27 Februari 2026 (Kota Setar): Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tuanku Raja Muda Kedah merangkap Yang Dipertua MAIK perkenan berangkat ke Majlis Berbuka Puasa di Dataran Masjid Zahir, di sini.
Turut berangkat hadir, Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda binti Mohamad Ariff, Tuanku Raja Puan Muda Kedah, dan Anakanda Yang Teramat Mulia Tengku Sulaiman Badlishah bin Tuanku Sarafudin Badlishah.
Keberangkatan tiba Tuanku Raja Muda Kedah dan keluarga di Dataran Medan Bandar disambut oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Norizan bin Khazali, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, Sohibus Samahah Dato’ Paduka (Dr.) Syeikh Fadzil bin Haji Awang, Mufti Negeri Kedah Darul Aman dan Yang Berbahagia Dato’ Dr. Syeikh Haji Abd. Ghani @ Zulkifli bin Haji Zainuddin, Setiausaha MAIK.
Baginda Tuanku Raja Muda Kedah dan keluarga kemudian perkenan menyantuni pengunjung yang hadir di Dataran Medan Bandar dengan menyampaikan sumbangan makanan berbuka puasa berupa set nasi berlauk dan snek “churros” di reruai yang didirikan.
Baginda Tuanku Raja Muda Kedah dan keluarga kemudian berangkat ke Dataran Masjid Zahir untuk majlis santapan berbuka puasa bersama tetamu jemputan dan pengunjung yang diadakan secara “potluck” sebelum berangkat masuk ke Masjid Zahir bagi menunaikan solat fardhu Maghrib dan Isyak serta solat sunat terawih secara berjemaah.
Majlis yang dijayakan secara kerjasama pelbagai agensi seperti MAIK, Kedah Tourism, MBAS dan Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN) Kedah ini diakhiri dengan santapan moreh di Bilik Santapan DiRaja dan keberangkatan pulang Tuanku Raja Muda Kedah sekeluarga.
#RajaMudaKedah
#berbukapuasa
#dataranmasjidzahir








