[gtranslate]

BERITA MAIK

MAJLIS PENYAMPAIAN AMANAT TAHUN BAHARU 2026 MAIK

08 Januari 2026 (Kota Setar): Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah perkenan berangkat ke Majlis Penyampaian Amanat Tahun Baharu 2026 Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) bertempat di Grand Ballroom, Raia Hotel & Convention Centre, di sini.

Keberangkatan tiba DYTM Tuanku Raja Muda Kedah disambut oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Norizan bin Khazali, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, Sohibus Samahah Dato’ Paduka (Dr.) Syeikh Fadzil bin Haji Awang, Yang Berbahagia Dato’ Dr. Haji Abd. Ghani @ Zulkifli bin Haji Zainuddin, Setiausaha MAIK, barisan Anggota Majlis serta kakitangan MAIK.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Tuan Muhammad Suhaimi bin Zulkiflee, Ketua Bahagian Baitulmal MAIK sebelum diteruskan dengan penyampaian titah amanat tahun baharu oleh Tuanku Raja Muda Kedah kepada Anggota dan kakitangan MAIK.

Dalam titah baginda, Tuanku Raja Muda Kedah menyingkap kembali pencapaian yang telah dicapai oleh bahagian-bahagian di MAIK pada tahun 2025 serta perancangan yang akan dilaksanakan pada tahun 2026 selari dengan perancangan Pelan Strategik 2026-2030 MAIK.

Baginda Tuanku Raja Muda Kedah turut bertitah menekankan kepentingan kepada beberapa aspek iaitu keperluan penggunaan kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) dalam melaksanakan tugas harian, penerapan sikap mindfulness dalam menjalankan kerja serta keperluan menguasai Bahasa Inggeris dalam kalangan kakitangan MAIK terutama di peringkat pengurusan tertinggi.

Majlis Penyampaian Amanat Tahun Baharu 2026 MAIK melabuhkan tirainya dengan sesi soal jawab daripada kakitangan MAIK kepada Tuanku Raja Muda Kedah serta acara bergambar beramai-ramai bersama Anggota dan kakitangan MAIK.