[gtranslate]

BERITA MAIK

RAJA MUDA KEDAH PERKENAN BERANGKAT MENYEMPURNAKAN MAJLIS PENGURNIAAN AGIHAN FIDYAH MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI KEDAH 2026/1447

05 Februari 2026 (Kota Setar) – Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tuanku Raja Muda Kedah merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) perkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pengurniaan Agihan Fidyah MAIK 2026/1447 bertempat di Puteri Palmera Glass Hall, di sini.

Keberangkatan tiba DYTM Tuanku Raja Muda Kedah disambut oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Norizan bin Khazali, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Sohibus Samahah Dato’ Paduka (Dr.) Syeikh Fadzil bin Haji Awang, Mufti Negeri Kedah, Yang Berbahagia, Dato’ Dr. Syeikh Haji Abd. Ghani @ Zulkifli bin Haji Zainuddin, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah merangkap Setiausaha MAIK, serta ketua-ketua jabatan kerajaan dan penerima-penerima sumbangan fidyah.

Dalam ucapan alu-aluan oleh Yang Berbahagia Setiausaha MAIK, beliau menyatakan bahawa jumlah kutipan fidyah bagi tahun 2025 adalah sebanyak RM5,276,197.59, di mana sebahagian daripadanya telah diagihkan sebelum Ramadan yang lalu. Bagi fasa pertama agihan tahun 2026, baki peruntukan yang diagihkan adalah sebanyak RM3,147,121.45.

Beliau turut memaklumkan bagi majlis yang sedang berlangsung, seramai 320 orang penerima akan menerima wang tunai dan Kit Tabaruk Baitulmal dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM128,000.00 manakala agihan fidyah berbentuk wang tunai kepada golongan fakir miskin turut dilaksanakan melalui 588 buah masjid di seluruh Negeri Kedah, melibatkan seramai 8,820 orang penerima dengan peruntukan sebanyak RM1,764,000.00.

Bagi sektor pendidikan pula, 34 buah Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) telah menerima agihan fidyah melibatkan 778 orang pelajar, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM742,040.00 dan agihan fidyah kepada Institut Pengajian Tinggi (IPT) diteruskan menerusi Program Bantuan Makanan Kepada Pelajar Miskin di Negeri Kedah, melibatkan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Merbok, dan Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok. Program ini memanfaatkan 600 orang pelajar dengan jumlah agihan sebanyak RM672,000.00.

Yang Berbahagia Setiausaha MAIK turut berbesar hati mengumumkan agihan baharu bagi tahun ini, yang melibatkan Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) dan Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) turut dipilih sebagai penerima, melibatkan 200 orang pelajar dengan jumlah agihan sebanyak RM288,000.00 serta perluasan agihan kepada empat buah Maktab Mahmud yang melibatkan seramai 140 orang pelajar dengan peruntukan sebanyak RM115,500.00.

Baginda Tuanku Raja Muda Kedah kemudian perkenan mengurniakan sumbangan fidyah berbentuk wang tunai dan Kit Tabaruk Baitulmal kepada penerima-penerima individu serta pengurniaan cek cura sumbangan fidyah kepada masjid-masjid di negeri kedah, institusi pendidikan menengah dan tinggi yang terpilih serta penerima sumbangan motorsikal OKU sebelum berangkat pulang.