ALOR SETAR, 7 November 2026 – Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (MAIK), berkenan berangkat ke Wakaf FundRun 2026 anjuran MAIK bersempena hari Alor Setar Car Free Saturday di Dataran Medan Bandar, di sini.
Turut berangkat ialah Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah dan Duli Yang Amat Mulia Che Puan Nur Julie Ariff, Tunku Puan Mahkota Kedah.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh YB Dato’ Seri Haji Norizan Khazali, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman; Sahibus Samahah Dato’ Paduka (Dr.) Syeikh Fadzil Haji Awang, Mufti Negeri Kedah Darul Aman; YB Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman; Dato’ Haji Mohd Yusri Md. Daud, Timbalan Yang Dipertua MAIK; Syeikh Mohamad Subhi Abdullah, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (JHEAIK); serta Dr. Haji Abdul Rahim bin Haji Abdul Rahman, Ketua Pegawai Operasi MAIK.
Wakaf FundRun 2026 yang julung kali dianjurkan ini berjaya merekodkan 3,030 penyertaan, sekali gus melebihi sasaran yang ditetapkan. Baginda Tuanku Raja Muda Kedah turut berkenan menyempurnakan pelepasan larian bagi kategori 2.5 kilometer (km), 5 km dan 7 km. Dr. Haji Abdul Rahim berkata, “Objektif penganjuran ini adalah untuk memupuk kesedaran masyarakat peri penting berwakaf dan mengumpul dana untuk pembangunan 15 projek institusi keagamaan di Kedah.” “Hakikatnya, setiap individu mampu menyumbang mengikut kemampuan masing-masing dan secara tidak langsung menjadi sebahagian daripada penggerak dalam pembangunan sosioekonomi ummah,” katanya. Penganjuran tersebut turut mendapat sokongan penaja korporat seperti Bank Islam Malaysia Berhad, Grand Teknik Bina Sdn Bhd dan Gas Malaysia, serta rakan strategik lain dengan catatan kutipan sebanyak RM651,000.
Beliau turut memaklumkan bahawa MAIK merancang untuk meneruskan penganjuran Wakaf FundRun pada tahun hadapan dalam skala yang lebih besar, selaras dengan titah Raja Muda Kedah. Antara cadangan yang dipertimbangkan ialah larian bagi kategori 5 km dan 10 km. Selain acara larian, program tersebut turut diisi dengan penyampaian cek cura serta cabutan bertuah yang memeriahkan suasana. MAIK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua peserta, penaja dan rakan strategik, khususnya Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), serta seluruh warga kerja MAIK dan sukarelawan daripada pelbagai agensi atas kerjasama dalam menjayakan program ini.
Penghargaan turut diberikan kepada Sekolah Kebangsaan Pendang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Mohamed Al-Bukhary atas persembahan pancaragam yang menyerikan Wakaf FundRun 2026.















