ALOR SETAR, 28 September 2026 – Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) dengan bangganya menganjurkan Majlis Prapelancaran Wakaf FundRun 2026 bersama rakan strategik, media dan penaja bertempat di Hotel Serasi Padi, Alor Setar, disini, hari ini.

Program Wakaf Fundrun 2026 ini merupakan satu pendekatan baharu bagi menggalakkan amalan berwakaf dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda melalui aktiviti sukan dan riadah.

Program tersebut akan berlangsung pada 7 November 2026 di Dataran Medan Bandar, Alor Setar dengan menawarkan tiga kategori larian, iaitu 2.5 kilometer, 5 kilometer dan 7 kilometer. Penyertaan adalah terbuka kepada semua lapisan masyarakat khususnya kepada rakyat Negeri Kedah dengan yuran berjumlah RM50.00.

Majlis prapelancaran yang berlangsung pada hari ini menjadi medan bagi pihak MAIK mewar-warkan penganjuran program ini kepada para pengamal media serta menggalakkan sokongan rakan strategik dan penaja menjelang acara rasmi pada November nanti.

MAIK turut mengalu-alukan penglibatan syarikat korporat, institusi perbankan serta rakan strategik melalui penajaan, sumbangan wakaf dan sokongan bagi menjayakan program tersebut.

Hadir sama Tuan Mohd Kamaruzaman bin Khalidin, Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah; Puan Siti Nurfazlina binti Abd Tafarudin, Pegawai Teknologi Maklumat, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS); Tuan Mohd Rafie bin Azimi, wakil Kedah Tourism; Tuan Ahmad Zaki bin Ghazali, Ketua Bahagian Wakaf; Tuan Muhammad Suhaimi bin Zulkiflee, Ketua Bahagian Baitulmal; Tuan Fakhrurrazi bin Yub, Pengetua Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (PUSBA); serta wakil-wakil institusi perbankan dan pegawai-pegawai MAIK.

Untuk maklumat lanjut berkaitan Wakaf Fundrun, layari di pautan berikut: https://maik.kedah.gov.my/fundrun-wakafmaik/