LANGKAWI, 11 September 2026 – Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tuanku Raja Muda Kedah merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) bersama Yang Teramat Mulia Tengku Sulaiman Badlishah bin Tengku Sarafudin perkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Istiqamah, Kuala Teriang Langkawi di sini, hari ini.
 
Keberangkatan DYTM Tuanku Raja Muda Kedah disambut oleh Yang Berhormat Dato’ Salleh Bin Saidin Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Norizan bin Khazali, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Yang Berbahagia Dato’ Dr Nadzman Bin Mustaffa, Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Yang Berbahagia Dato’ Muhamad Mahazi bin Haji Ibrahim, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Pengurusan); Yang Berusaha Encik Nasrun bin Dato’ Mohd Sheriff, Pegawai Daerah Langkawi, Yang Berusaha Encik Mohamad Hamri bin Abidin, Yang Dipertua Majlis Perbandaan Langkawi, Sohibul Fadhilah Dato’ Syeikh Ismi Anuar bin Abdul Halim, Timbalan Pengarah Operasi JHEAIK serta Pegawai-pegawai Agama Islam Kerajaan Negeri Kedah.
 
DYTM Tuanku Raja Muda Kedah kemudiannya perkenan menunaikan solat Jumaat secara berjemaah yang diimamkan oleh Ustaz Muhammad Nasri Bin Md Nayan, Imam Masjid Al Istiqamah sebelum diakhiri dengan sesi bergambar bersama pegawai-pegawai Kerajaan Negeri Kedah dan Ahli Jawatankuasa Masjid.