ALOR SETAR, 4 September 2026 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tuanku Sultan Negeri Kedah Darul Aman berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Ehsan, Seberang Perak, di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Sohibus Samahah Dato’ Paduka (Dr) Syeikh Fadzil Haji Awang, Mufti Negeri Kedah Darul Aman; Sohibul Fadhilah Dato’ Syeikh Hj. Abd Rahman bin Hj. Abdullah, Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah Darul Aman; YBhg. Dato’ Muhamad Mahazi Haji Ibrahim, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Kedah Darul Aman; YBhg. Dato’ Haji Mohd Yusri Md. Daud, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (MAIK); YDH DCP Baderulhisham bin Baharudin, Timbalan Ketua Polis Kedah; dan YBrs.Tuan Syeikh Mohamad Subhi Abdullah, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (JHEAIK).

Tuanku Sultan kemudiannya berkenan bergambar bersama dif-dif jemputan, pegawai masjid serta Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid Al-Ehsan sebelum menunaikan solat fardu Jumaat secara berjemaah.

Hadir sama ialah ketua-ketua jabatan kerajaan serta pegawai MAIK.

Khutbah Jumaat bertajuk “Pemuda Berakhlak, Akhlak Terpelihara” disampaikan oleh Ustaz Mohd Fitri Hafizan Ahmad Kamal, Imam Masjid Al-Ehsan.