KUALA LUMPUR, 30 Oktober 2026 – Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) menerusi Dr. Haji Abdul Rahim bin Haji Abdul Rahman, Ketua Pegawai Operasi MAIK, telah mengadakan kunjungan ke Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), di sini.
Dalam kunjungan tersebut, Dr. Haji Abdul Rahim turut menjayakan sesi temu bual di IKIMfm bersama dua penyampai radio, Tuah Zoqarnain Idris atau lebih dikenali sebagai Tyzo Xander dan Ahmad Al Mohsin atau El-Mohsen.
Sesi temu bual berkenaan memberi ruang kepada MAIK untuk berkongsi maklumat mengenai perkhidmatan yang disediakan, di samping mempromosikan penganjuran Wakaf Fund Run 2026 yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 7 November 2026, bertempat di Dataran Medan Bandar Alor Setar, Kedah.
Kunjungan tersebut turut melibatkan sesi perbincangan bersama Haji Ahmad Fuad bin Mat Ali, Pengarah Pusat Media IKIM dan Tuan Al Iskandar bin Mokhtar, Pengurus Besar Bahagian Ekonomi dan Pemasaran IKIM, bagi meneroka peluang kerjasama dalam aspek penyebaran maklumat serta hebahan berkaitan perkhidmatan dan program anjuran MAIK melalui platform media IKIM.
Selain itu, delegasi MAIK turut berpeluang mengadakan lawatan ke Perpustakaan Tun Ahmad Sarji (PTAS), IKIM yang diketuai oleh Encik Mohd Zafri bin Abdul Karim, Ketua Pustakawan PTAS. Lawatan tersebut memberi peluang kepada delegasi MAIK untuk melihat dengan lebih dekat pengurusan koleksi bahan ilmiah.












