jambatan saham akhirat yang berterusan demi membina masa depan ummah yang lebih sejahtera." JOM WAKAF SAHAM AKHIRAT Lagi..

PEMBANGUNAN SOSIAL (WAKAF TUNAI)

HARTANAH UNTUK DI SEWA

HARTANAH UNTUK DIBANGUNKAN

PEMBANGUNAN EKONOMI

PENGERTIAN WAKAF

Wakaf ertinya—

(a) untuk menyerahkan hak milik apa-apa harta yang boleh dinikmati manfaat atau kepentingannya; atau
(b) untuk menyerahkan manfaat atau kepentingan yang boleh dinikmati daripada apa-apa harta, sama ada sebagai wakaf am atau wakaf khas, menurut hukum syarak.

Wakaf Am ertinya wakaf bagi maksud kebajikan umum mengikut Hukum Syarak

Wakaf Khas ertinya wakaf bagi maksud kebajikan tertentu atau bagi pihak tertentu mengikut Hukum Syarak

Waqif ertinya orang yang mewujudkan sesuatu wakaf

HARTANAH WAKAF DI KEDAH

DAERAH
WAKAF AM
(Bil. Lot)
WAKAF AM
Keluasan (Hektar)
WAKAF KHAS
(Bil. Lot)
WAKAF KHAS
Keluasan (Hektar)
Baling
15
15.9471
127
71.2731
Bandar Baharu
7
5.5463
28
17.9444
Kota Setar
50
60.4609
267
146.8663
Kuala Muda
14
12.5764
200
98.9402
Kubang Pasu
40
33.435
121
87.6379
Kulim
16
9.0083
74
28.7752
Langkawi
18
5.229
45
21.2119
Padang Terap
11
12.1934
46
39.2377
Pendang
4
2.2324
85
37.2409
Pokok Sena
8
4.7753
47
24.7448
Sik
17
15.3245
81
41.2706
Yan
25
17.8714
115
152.9508
JUMLAH
225
194.6
1236
768.0938

RUKUN WAKAF

SYARAT WAKAF

Syarat-syarat sah wakaf adalah seperti berikut:

1) Pewakaf (Wakif)
  a) Islam, berakal, baligh,
  b) Sukarela tidak dipaksa
  c) Pemilik sah harta yang diwakafkan
  d) Ahli Tabaruk bukan muflis

2) Harta Wakaf (Mauquf)
  a) Harta yang bernilai dan boleh dimanfaatkan
  b) Pemilikan sempurna pewakaf
  c) Tidak bercampur dengan hak orang lain

3) Penerima Wakaf (Mauquf ‘Alaih)
  a) Jelas dan diharuskan oleh syarak
  b) Untuk tujuan kebajikan atau manfaat umum

4) Lafaz Wakaf (Sighah)
  a) Aqad wakaf yang jelas menunjukkan niat wakaf
  b) Tidak terikat dengan tempoh tertentu dan bersifat kekal

PROSEDUR TERIMAAN PERMOHONAN WAKAF

1)  Menerima permohonan sesuatu wakaf dan dokumen sokongan. Dokumen yang diperlukan ialah :

   >  Borang Permohonan Wakaf
   >  Salinan surat hak milik
   >  Salinan Kad Pengenalan
   >  Salinan cukai tanah
   >  Pelan daripada juru ukur berlesen (jika serahan sebahagian tanah)

2)  HARTANAH YANG DITERIMA SEBAGAI SESUATU WAKAF

a)  Hartanah yang dapat dipertimbangkan / diluluskan untuk sesuatu Wakaf adalah seperti berikut :
   i)  Nama pemohon hendaklah berdaftar di dalam surat hakmilik.
   ii)  Bagi serahan yang melibatkan sebahagian tanah, pemohon hendaklah mempunyai pelan plot tanah yang hendak diwakafkan dengan jelas dan
       dipersetujui oleh semua penama di dalam geran.
   iii) Tidak terdapat pembinaan setinggan dan sekiranya ada telah mendapat kerjasama untuk keluar daripada tanah tersebut.
   iv) Tanah hendaklah bebas daripada status gadaian,sekatan pindah milik, kaveat (persendirian atau berdaftar),terlibat dalam pertikaian sivil atau
        kes mahkamah.
   v)  Mempunyai akses masuk yang sah atau sesuai secara fizikal untuk pembangunan atau komersial.

3)  PENYEDIAAN LAPORAN

a) Membuat semakan dokumen hakmilik dengan mendapatkan carian rasmi di Pejabat Tanah Daerah/Pejabat Tanah dan Galian (jika perlu).

b) Mendapatkan surat persetujuan daripada pemilik tanah yang lain (sekiranya wakaf sebahagian tanah).

c) Laporan fizikal tanah dengan membuat lawatan tapak dan laporan am tanah hendaklah mempunyai kreteria berikut:
  i)   Menentukan bahagian tanah yang hendak diwakafkan dengan jelas dan keluasan tanah yang hendak diwakafkan.
  ii)  Kedudukan fizikal dan persekitaran tanah (keadaan tanah, akses jalan, kegunaan semasa tanah, kedudukan topografi tanah).
  iii) Kesesuaian tanah untuk diterima sebagai Wakaf atau tidak.
  iv) Potensi pembangunan tanah pada masa hadapan.
  v) Syor daripada PAD

4)  LAFAZ WAKAF

a)  Setelah PAD berpuas hati dan bersetuju menerima hartanah wakaf tersebut, satu lafaz wakaf hendaklah disediakan mengikut niat pewakaf.

b)  PAD hendaklah menerangkan maksud dan implikasi kepada sesuatu tujuan wakaf sebelum pewakaf membuat lafaz wakaf.

c)  Bagi sesuatu wakaf khas untuk pusat pengajian Islam, pewakaf TIDAK DIBENARKAN untuk mengkhususkan kepada nama pusat pengajian. Ini bertujuan bagi memudahkan pengurusan tanah tersebut oleh pihak MAIK pada masa hadapan.

d)  Lafaz wakaf tersebut hendaklah ditandatangani oleh pewakaf beserta dua saksi dan disahkan dihadapan PAD/KBW/PGHEI/TKBW atau mana-mana orang yang diberi kebenaran oleh MAIK untuk menerima sesuatu wakaf.

5)  PENDAFTARAN HAK MILIK DI PEJABAT TANAH DAERAH (PTD)

a)  Menyediakan surat rasmi ke PTD bagi tujuan pendaftaran hartanah wakaf.

b)  Menyediakan borang permohonan pendaftaran tanah yang berkaitan, dokumen sokongan yang lengkap sebelum dihantar ke PTD.

c)  Membuat bayaran (jika perlu) untuk proses pendaftaran di PTD

d)  Menerima notis untuk mengambil geran baru yang telah selesai pindah milik ke atas nama MAIK selepas 2 minggu dari tarikh daftar di PTD.

e)  Menyimpan geran asal ke dalam bilik fail sekiranya wakaf keseluruhan tanah

f)  Sekiranya wakaf sebahagian tanah, geran akan dipulangkan semula kepada pemilik bersama yang lain.

6)  MEMAKLUMKAN KEPADA PEWAKAF DAN PENERIMA MANFAAT WAKAF

a)  Menyediakan surat pemakluman dan menghantar satu salinan surat hak milik kepada pewakaf dan penerima manfaat wakaf (masjid,surau,sekolah dan lain-lain)

UNDANG-UNDANG BERKAITAN WAKAF

ENAKMEN PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM (KEDAH DARUL AMAN) (PINDAAN) 2025

Bahagian IV

“WAKAF”

Majlis menjadi pemegang amanah tunggal wakaf

Seksyen 52.
Walau apa pun mana-mana peruntukan yang berlawanan yang terkandung dalam apa-apa surat cara atau peristiharan yang mewujudkan, mengawal atau menyentuh perkara itu, Majlis hendaklah menjadi pemegang amanah yang tunggal bagi semua wakaf, samada wakaf ‘am atau wakaf khas.

Tanpa menjejaskan keluasan subseksyen (1), Majlis boleh dilantik sebagai mawquf ‘alaih bagi –
mana-mana mawquf dengan apa-apa tujuan Kebajikan yang ditentukan oleh waqif bagi mana-mana mawquf sedemikian; dan

mana-mana mawquf yang berada di luar Negeri Kedah dan boleh membuat apa-apa perkiraan dengan pemegang amanah mawquf itu, tertakluk pada apa-apa undang-undang berkaitan yang membenarkannya yang diperuntukkan dalam undang-undang negeri berkenaan.

Tiap-tiap wakaf hendaklah didaftarkan di bawah Enakmen ini kecuali yang dinyatakan di bawah perenggan (2) (b).”.


Peletakhakan mawquf

Seksyen 53.
Semua harta yang tertakluk kepada seksyen 52 hendaklah tanpa apa-apa pindah hak, serah hak atau pindah hakmilik, dan, dalam hal harta tak alih sebaik sahaja didaftarkan di bawah undang-undang bertulis yang berhubungan dengan tanah, terletak hak pada Majlis, bagi maksud

Tertakluk pada mana-mana undang-undang bertulis, Majlis boleh menuntut apa-apa harta, wang, manfaat, faedah, keuntungan atau kepentingan daripada apa-apa mawquf yang sepatutnya terletakhak kepada Majlis sebagai suatu wakaf daripada mana-mana orang dari tarikh permulaan kuat kuasanya mengikut Hukum Syarak dan Majlis boleh menuntut apa-apa manfaat, faedah, keuntungan atau kepentingan suatu mawquf daripada mana-mana orang sebelum suatu mawquf didaftarkan di bawah Enakmen ini.”.


Kesalahan memungut, mengurus atau mengagih apa-apa mawquf

Seksyen 53A.
Mana-mana orang yang memungut, mengurus atau mengagih apa-apa mawquf , tanpa kebenaran bertulis daripada Majlis, melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah Syariah hendaklah memerintahkan supaya manfaat mawquf itu dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Majlis.


Sekatan bagi pewujudan wakaf

Seksyen 54.
Mana-mana orang, sama ada melalui wasiat atau alang semasa marad-al-maut, hanya boleh mewakafkan kepada mana-mana orang termasuk ahli warisnya, tidak melebihi daripada satu pertiga hartanya melainkan jika dipersetujui oleh waris.

Mana-mana wakaf yang dibuat, adalah terbatal dan tidak sah melainkan –
wakaf itu telah dibuat semasa pembuatnya sakit tenat dan kemudian meninggal dunia akibat sakit itu dan telah dibuat secara lisan atau melalui isyarat atau secara bertulis melalui surat cara yang disempurnakan oleh pembuatnya dan hendaklah disaksikan oleh dua orang Islam dewasa; dan

disahkan melalui suatu perintah oleh Mahkamah Syariah.

Seksyen ini tidaklah berkuat kuasa untuk menjadikan sah apa-apa wasiat atau alang semasa marad-al-maut yang tidak sah menurut Hukum Syarak.


Pendapatan daripada wakaf khas

Seksyen 55.
Majlis boleh mengenakan apa-apa bayaran atas kadar yang ditentukan oleh Majlis bagi pengurusan wakaf khas dan bayaran itu hendaklah ditolak daripada pendapatan wakaf khas tersebut dan dikreditkan kepada Majlis sebagai hasil.


Mawquf

Seksyen 56.
“(1) Tertakluk pada subsyeksyen (2) dan (2A), suatu mawquf hendaklah digunakan menurut wakaf.”;

“(2) Jika, oleh sebab masa telah luput atau hal keadaan sudah berubah atau atas apa-apa sebab tidak mungkin lagi berfaedah untuk menjalankan peruntukan tepat mana-mana wakaf, Majlis hendaklah menyediakan suatu kaedah bagi menggunakan mawquf yang tersentuh olehnya mengikut cara yang sehampir mungkin sama dengan syarat atau tujuan wakaf itu, dan hendaklah menggunakan mawquf itu dengan sewajarnya.”;

“(2A) Sekiranya mawquf yang disebut di bawah subseksyen (2) adalah bagi tujuan khas dan tidak dapat digunakan atau dilaksanakan dengan syarat atau tujuan yang sehampir mungkin sama, mawquf itu boleh digunakan sebagai wakaf ‘am atau bagi apa-apa tujuan am lain yang lebih bermanfaat.”.


Pengertian surat cara tentang wakaf

Seksyen 57.
Jika, pada pendapat Majlis makna atau natijah mana-mana surat cara atau akuan yang mewujudkan atau menyentuh mana-mana wakaf adalah kabur atau tidak pasti, Majlis bolehlah merujukkan perkara itu kepada Mufti bagi mendapatkan pendapatnya tentang makna dan natijah surat cara atau akuan itu, dan hendaklah bertindak menurut apa-apa pendapat yang diberikan sedemikian oleh Mufti.

ENAKMEN PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM (KEDAH DARUL AMAN) 2008

Bahagian V

“MASJID”

Majlis menjadi pemegang amanah tunggal bagi masjid dan tanah yang berkaitan dengannya.

Seksyen 59.
Walau apapun apa-apa peruntukan yang berlawanan dalam mana-mana surat cara bertulis, Majlis hendaklah menjadi pemegang amanah tunggal bagi semua masjid dalam Negeri Kedah Darul Aman.

Tiap-tiap masjid, bersama dengan tapak masjid itu dan mana-mana tanah yang berhubung dengan dan digunakan bagi maksud masjid itu, selain tanah kerajaan atau tanah yang dirizabkan bagi maksud awam, hendaklah sebaik sahaja didaftarkan di bawah undang-undang bertulis yang berhubung dengan tanah, dan tanpa apa-apa pemindahakan, penyerahakan atau pemindahmilikan, terletak hak pada Majlis bagi maksud-maksud Enakmen ini.