Penyertaan
0
Kutipan
RM 0 .00
Projek Institusi Agama
0

"Terima Kasih Atas Sokongan Anda!" "Berlari Sambil Berwakaf"

WAKAF FUNDRUN 2026 CATAT KEJAYAAN MEMBANGGAKAN, RAIH 3,030 PENYERTAAN DAN KUTIPAN RM651,000

ALOR SETAR, 7 November 2026 – Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (MAIK), berkenan berangkat menyempurnakan acara pelepasan Wakaf FundRun 2026 yang berlangsung di Dataran Medan Bandar, Alor Setar, bersempena dengan program Alor Setar Car Free Saturday.

Turut berangkat ialah Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah dan Duli Yang Amat Mulia Che Puan Nur Julie Ariff, Tunku Puan Mahkota Kedah.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh YB Dato’ Seri Haji Norizan Khazali, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman; Sahibus Samahah Dato’ Paduka (Dr.) Syeikh Fadzil Haji Awang, Mufti Negeri Kedah Darul Aman; YB Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman; Dato’ Haji Mohd Yusri Md. Daud, Timbalan Yang Dipertua MAIK; Syeikh Mohamad Subhi Abdullah, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (JHEAIK); serta Dr. Haji Abdul Rahim bin Haji Abdul Rahman, Ketua Pegawai Operasi MAIK.

Penganjuran julung kali Wakaf FundRun 2026 mencatat kejayaan membanggakan apabila berjaya menarik 3,030 penyertaan, sekali gus melepasi sasaran awal penganjuran. Program ini turut merekodkan kutipan dana sebanyak RM651,000 hasil sokongan pelbagai pihak termasuk penaja korporat dan rakan strategik.

DYTM Raja Muda Kedah turut berkenan menyempurnakan acara pelepasan peserta bagi tiga kategori larian, iaitu 2.5 kilometer (km), 5 km dan 7 km.

Menurut Ketua Pegawai Operasi MAIK, Dr. Haji Abdul Rahim bin Haji Abdul Rahman, penganjuran Wakaf FundRun merupakan antara pendekatan MAIK untuk memperluas kesedaran masyarakat mengenai kepentingan amalan berwakaf, di samping mengumpul dana bagi menyokong pembangunan 15 projek institusi keagamaan di Negeri Kedah Darul Aman.

Beliau menjelaskan bahawa konsep larian amal yang digabungkan dengan amalan berwakaf membuka ruang kepada masyarakat untuk menyumbang kepada pembangunan ummah melalui penyertaan dalam aktiviti yang sihat dan bermanfaat.

“Setiap individu mampu menyumbang mengikut kemampuan masing-masing dan secara tidak langsung menjadi sebahagian daripada penggerak pembangunan sosioekonomi ummah,” katanya.

Kejayaan program ini turut didukung oleh komitmen penaja korporat, antaranya Bank Islam Malaysia Berhad, Grand Teknik Bina Sdn. Bhd. dan Gas Malaysia, selain sokongan rakan strategik serta pelbagai agensi yang terlibat.

Mengulas mengenai perancangan masa hadapan, beliau memaklumkan bahawa MAIK berhasrat meneruskan penganjuran Wakaf FundRun pada tahun 2027 dalam skala yang lebih besar, selaras dengan titah DYTM Raja Muda Kedah. Antara cadangan yang sedang dipertimbangkan termasuk pengenalan kategori larian 5 km dan 10 km bagi menarik penyertaan lebih meluas.

Selain acara larian, program turut diserikan dengan penyampaian cek cura, cabutan bertuah serta persembahan pancaragam oleh Sekolah Kebangsaan Pendang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Mohamed Al-Bukhary.

MAIK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta, penyumbang, penaja korporat dan rakan strategik, khususnya Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), serta seluruh warga kerja MAIK dan sukarelawan daripada pelbagai agensi atas komitmen dan kerjasama dalam menjayakan Wakaf FundRun 2026.

Kejayaan Wakaf FundRun 2026 membuktikan bahawa aktiviti riadah dan amalan berwakaf dapat digabungkan sebagai satu pendekatan inovatif dalam memperkukuh budaya kebajikan, semangat kebersamaan dan tanggungjawab sosial masyarakat demi kesejahteraan ummah.

Berlari Sambil Berwakaf.

Dilihat: 77

Facebook
LinkedIn
WhatsApp
X