PUSBA ialah sebuah Pusat Bimbingan Islam, ditubuhkan pada 08 Mac 1998. Kos pembinaan dan perbelanjaan operasinya dibiayai oleh Jabatan Zakat Negeri Kedah. Pada asalnya PUSBA ditubuhkan bagi menangani gejala murtad dalam kalangan saudara baru dan orang Islam asal sebagai melaksana resolusi supaya diwujudkan sebuah pusat khusus Bagi memberi pendidikan mengenai ajaran Islam terhadap mereka. Walau bagaimanapun, berpunca daripada perubahan dan tuntutan masyarakat semasa, kini PUSBA juga berperanan sebagai pusat menyebar ajaran Islam di kalangan orang bukan Islam dan pusat pengukuhan kefahaman dan penghayatan Islam di kalangan orang Islam khususnya rakyat di Negeri Kedah.
PUSBA beroperasi di sebuah bangunan tiga tingkat bernilai RM3.16 juta di Sungai Petani sejak 1 April 1999. Lokasinya agak strategik untuk peranan yang dipertanggungjawabkan. Terdapat juga keperluan untuk mempertingkatkan operasi berikutan daripada cabaran sosial semasa yang sedang berlaku. Walau bagaimanapun, prasarana asas semasa yang ada di Pusat ini agak terhad bagi menampung peserta yang lebih ramai. Pusat ini hanya menyediakan 16 buah bilik asrama lelaki dan perempuan, 4 buah bilik kuliah, sebuah perpustakaan, dewan serbaguna, dewan makan dan surau (200 jemaah).
Tadbir urus operasi PUSBA diketuai oleh Pengetua yang bertanggungjawab kepada Lembaga Tadbir. Beliau mengetuai dua buah bahagian utama iaitu Bahagian Pentadbiran dan Kewangan dan Bahagian Pendidikan dan Kaunseling.